Friday, March 26, 2010

Muzik dan Pergerakan Untuk Kanak-Kanak 3 Tahun

Kanak-kanak yang berumur 3 tahun telah mengalami perkembangan dari segi fizikal, kognitif, emosi dan sosial yang memberangsangkan. Dari segi fizikal, kanak-kanak berumur 3 tahun telah mampu menggolek, membaling, dan menyepak bola yang boleh diaplikasikan bersama-sama dengan muzik. Manakala dari segi kognitif pula, kanak-kanak seusia ini telah mula memahami konsep sama dan lain dan konsep ini sesuai digunakan ketika melakukan persembahan yang mana kanak-kanak memerlukan kepekaan dalam menyamaratakan pergerakan dengan rakan-rakan yang lain. Perkembangan emosi pula kita dapat lihat di mana kanak-kanak ketika usia ini suka “berlakon”, contohnya seperti bermain pakaian beragam dan melakukan watak orang dewasa seperti doktor,guru dan sebagainya. Kanak-kanak juga waktu ini sudah mula pandai bergaul dengan rakan-rakan seusia mereka dan dengan adanya muzik akan menggalakkan untuk mereka melakukan pergerakan “menari” bersama-sama dan ini dikenali sebagai perkembangan sosial.

Muzik dan pergerakan untuk kanak-kanak berumur 3 tahun mestilah merangkumi kepelbagaian yang membolehkan mereka meneroka muzik dan pergerakan melalui nyanyian, tarian, pendengaran, dan bermain alatan muzik. Bagi kanak-kanak, setiap pergerakan yang mereka buat apabila muzik kedengaran di telinga mereka merupakan tarian dan dalam erti kata lain, pergerakan adalah tarian. Para pendidik untuk kanak-kanak berumur 3 tahun tahu bahawa bermain merupakan perkara utama untuk kanak-kanak berkembang dan muzik yang sesuai akan menghasilkan pergerakan yang akan dimulakan oleh kanak-kanak di bawah arahan guru dan guru seharusnya menyokong permainan seumpama ini. Di sini, peranan guru memainkan peranan yang penting dalam menyediakan satu suasana persekitan yang akan meransang dan menarik minat kanak-kanak untuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti muzik dan pergerakan.


Tindak balas kanak-kanak 3 tahun terhadap bunyi dan pergerakan.

Kebanyakkan kanak-kanak apabila mereka mendengar muzik, mereka akan menggerakkan badan, bertepuk tangan dan membengkokkan lutuk mereka mengikut iringan muzik yang mereka dengari. Beberapa tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak 3 tahun ialah pertama, kanak-kanak seusia ini sangat aktif dan menyukai muzik di mana mereka dapat bertindak balas dengan gembira. Kedua, kanak-kanak suka akan muzik yang mempunyai ritma yang rancak seperti lagu kanak-kanak atau rancangan tv yang menggalakkan mereka untuk menggerakkan badan. Seterusnya, kanak-kanak sering menggerakkan pinggul atau bertepuk tangan apabila mendengar muzik, dan percubaan kanak-kanak untuk menari mengikut muzik adalah dengan membengkokkan lutut dalam satu keadaan yang bertenaga, memusing-musingkan lengan dan mengangguk-anggukkan kepala.

Tingkah laku kanak-kanak yang seterusnya ialah mereka juga sudah mampu untuk menyanyi beberapa patah perkataan dari lagu yang didengari, menyukai permainan drama dan khayalan yang mana mereka akan berasa mereka seolah-olah dewasa seperti ibu bapa mereka. Kanak-kanak pada umur ini juga mula menunjukkan minat untuk mendengar dan bermain dengan alat muzik seperti drum, kayu stick dan tamborin. Permainan seperti ini turut menyumbang kepada perkembangan motor kasar dan motor halus kanak-kanak ketika mereka menggunakan alat muzik ini. Mereka juga sudah mampu untuk duduk dan baring dengan senyap sambil mendengar muzik dalam tempoh yang panjang dan menikmati dalam membuat bunyi sambil bermain seperti membuat bunyi dengan kayu stick dan dalam masa yang sama mereka membuat bunyi bersama-sama dengan kanak-kanak yang lain.
Kanak-kanak yang berumur 3 tahun suka melakukan aktiviti yang membolehkan mereka menggoncang dan mengetuk dan alat yang sesuai untuk mereka melakukannya ialah alat muzik tamborin. Tamborin merupakan alat muzik yang ringan dan mudah dibawa oleh kanak-kanak. Guru boleh menggunakan tamborin untuk menggalakkan kanak-kanak untuk mengubah daripada pergerakan yang perlahan kepada pergerakan yang cepat (Strickland, 2001). Ketika bermain sesuatu alat muzik, penting untuk dipastikan bahawa kanak-kanak diberi peluang untuk bermain dengan berbagai jenis muzik yang berlainan seperti muzik jaz, muzik dari negara barat, muzik klasik, muzik bunyi kontemporari, muzik hip hop, muzik rap dan muzik yang terdiri daripada pelbagai budaya sesebuah kaum.

Guru perlu membantu kanak-kanak dalam menerima bunyi yang terdapat dipersekitaran mereka. Contohnya, guru memberi tahu bagaimana menepuk meja merupakan salah satu cara yang boleh menghasilkan muzik juga. As Carleton mengingatkan kita bahawa “ mendengar adalah penting untuk kanak-kanak membezakan huruf, kata-kata, bunyi persekitaran, dan muzikal. Ini akan menjadikan kanak-kanak dapat mengenal pasti bunyi-bunyi yang terdapat dipersekitaran mereka.” Apabila kita menggalakkan kanak-kanak dengan kemahiran mendengar, kesempatan seperti ini akan adalah sesuatu yang lebih baik kerana ini semua perlu untuk membangunkan perkembangan mereka.
Rancangan Aktiviti Pergerakan dan Muzik Untuk Kanak-Kanak 3 Tahun.
Kanak-kanak merupakan golongan yang suka akan bunyi muzik sama ada muzik itu genre lama atau genre baru dan mereka tidak mementingkan asal usul sesuatu muzik itu, yang penting bagi mereka adalah muzik itu membuatkan mereka gembira. Melalui bunyi muzik ini, mereka akan mempelajari mengenai lirik dan melodi muzik dan di dalam waktu yang sama ini semua akan meningkatkan pemahaman kosa kata kemahiran berbahasa mereka. Ketika usia 3 tahun, aktiviti yang sesuai diberikan mestilah mengandungi pergerakan yang semaksimum yang mungkin. Ini kerana bunyi muzik itu sendiri telah membuatkan kanak-kanak rasa gembira dan dengan aktivit yang dirancangkan dapat membantu kanak-kanak membuat pergerakan yang betul.

Andress (1989) ada mengatakan bahawa untuk sesuatu pergerakan yang dilakukan oleh kanak-kanak, kajian telah menyokong bahawa langkah pergerakan yang dilakukan oleh kanak-kanak prasekolah adalah lebih cepat untuk tempo kesuruhannya berbanding dengan orang dewasa dan pengajaran yang berkesan akan menyelaraskan tempo yang salah yang dilakukan oleh kanak-kanak itu. Untuk memberi pengajaran yang berkesan kepada kanak-kanak bagi aktivit muzik dan pergerakan, empat elemen penting mestilah dimasukkan kedalam pengajaran itu. Empat elemen tersebut ialah nyanyian, dengar, bermain alat muzik dan pergerakan.

Persidangan Pendidikan Muzik Kebangsaan telah menyatakan bahawa perkara yang mesti ada di dalam pengajaran berkesan muzik bagi prasekolah mestilah merangkumi beberapa perkara iaitu pertama, guru mestilah menyokong sepenuhnya perkembangan kanak-kanak yang merangkumi perkembangan fizikal, emosi, sosial dan kognitif. Ini kerana guru ibarat ibu bapa kepada kanak-kanak apabila mereka di sekolah dan perkembangan seorang kanak-kanak dapat dikenal pasti oleh guru selain daripada ibu bapa kanak-kanak itu sendiri. Kedua, setiap pengajaran itu sesuai dangan perkembangan kanak-kanak prasekolah. Ini bermakna pengajaran yang berkesan adalah pengajaran yang tidak membebankan kanak-kanak itu apabila melakukannya.

Pengajaran berkesan yang ketiga ialah pengajaran itu merupakan pembelajaran yang aktif dan mudah dan interaksi antara guru dan kanak-kanak berlaku dengan selesa. Guru boleh menggunakan bahan bantuan mengajar seperti alatan muzik atau bahan-bahan muzik yang lain. Keempat, bahan bantuan mangajar yang digunakan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang sebenar, konkrit, dan berkaitan dengan dunia yang sebenar. Ini bagi memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang kehidupan di alam nyata. Seterusnya, sesuatu pengajaran itu mestilah memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mereka memilih sendiri jenis muzik, aktiviti, dan peralatan yang ingin mereka gunakan. Perkara yang terakhir bagi pengajaran yang berkesan ialah membenarkan kanak-kanak untuk menetapkan masa bagi mereka meneroka muzik menerusi pembabitan aktif.

Panduan Memilih Muzik dan Aktiviti Pergerakan untuk Kanak-Kanak 3 Tahun.

Pemilihan aktivit untuk kanak-kanak yang berumur 3 tahun mestilah bersesuaian dengan perkembangan mereka dari segi kognitif, fizikal, emosi dan sosial. Disini, disertakan beberapa panduan umum yang akan membantu guru dalam memilih muzik dan aktivit pergerakan untuk kanak-kanak yang berumur 3 tahun. Pengalaman belajar muzik di dalam kumpulan yang besar sepatutnya dikurangkan. Kanak-kanak sepatutnya belajar muzik di dalam kumpulan yang kecil di mana mereka berpeluang dan mempunyai banyak masa untuk menyanyi, membuat langkah, membuat bunyi dan mendengar muzik. Guru juga seharusnya memperkenalkan sepenuhnya pergerakan badan seperti melompat, berlari dan meloncat kepada kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak seusia ini akan memberikan respon yang amat menggalakkan kepada guru yang mengajar mereka tentang perkara seperti ini.

Ketika guru mengajar kanak-kanak, guru di nasihati supaya pada masa-masa yang sesuai, hendaklah memperkayakan aktiviti bermain kanak-kanak dengan pergerakan nyanyian yang spontan sendiri seperti ungkapan-ungkapan muzik dan lagu-lagu pendek. Ini bagi member mereka semangat dan mengelakkan mereka dari berasa bosan ketika guru sedang mengajar. Guru atau ibu bapa juga digalakkan untuk mengingatkan kanak-kanak nada suara mereka ketika bercakap atau menyanyikan lagu. Ini bagi membiasakan dan membezakan keperluan nada suara kanak-kanak tersebut mengikut situasi dan aras perkembangan mereka. Guru juga mestilah memperkenalkan bahan muzik yang baru dengan berhati-hati dan satu persatu supaya kanak-kanak dapat menerima dan memahami perkara baru.

Guru perlu ingat bahawa bukan semua kanak-kanak akan menyertai nyanyian atau aktiviti-aktiviti menari pada masa sama apabila guru menyuruh. Ini kerana sesetengah kanak-kanak mungkin lebih suka untuk mendengar tanpa sertai. Kanak-kanak lain mungkin hanya menyanyi atau menari untuk bahagian-bahagian yang telah mendapat perhatian mereka atau yang telah mereka dengar berulang-ulang sehingga menyebabkan mereka berasa selesa dalam kegiatan-kegiatan kumpulan. Ketika mengajar kanak-kanak tentang alat muzik, guru mestilah memperdengarkan bunyi setiap alat itu supaya kanak-kanak dapat mengenal pasti bunyi alat muzik dan tersebut. Disamping itu guru juga harus menerangkan secara ringkas mengenai bentuk dan nama alat muzik itu.
Pada kebiasaanya kanak-kanak yang berusia 3 tahun mampu untuk bernyanyi dengan lagu yang mereka biasa dengar dan mengikut serta mengekalkan rentak yang sama. Mereka juga merupakan golongan yang menikmati lagu walaupun kata-kata dalam lagu itu sering berulang dan mereka akan sering menyanyi apabila melakukan aktiviti harian mereka. Lagu yang dipilih mestilah membolehkan kanak-kanak bernyanyi dan dalam masa yang sama mereka dapat melakukan pergerakan. Mereka juga gemar bermain dengan orang dewasa kerana dari sini mereka boleh meniru pergerakan itu dan harus diketahui juga bahawa kanak-kanak juga menyukai aktiviti nyanyian yang disertakan tepukan tangan.

No comments:

Post a Comment